The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan ke-18 Liga Super 2025/26 | Selangor FC 1-0 Kuching City FC| Terus Pertahankan Stadium MBPJ

Feb 23, 2026 - FAS

Selangor FC berjaya meraih tiga mata penting selepas menewaskan Kuching City FC 1-0 dalam perlawanan ke-18 saingan Liga Super 2025/26 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Perlawanan yang mendebarkan antara perebutan kedudukan tangga kedua liga menyaksikan pertarungan kualiti, intensiti, dan disiplin taktikal yang tinggi daripada kedua-dua pasukan. Selangor FC menguasai bola sebanyak 52 peratus dan mencatat 13 percubaan, manakala Kuching City FC merekod 10 percubaan dengan empat tepat ke sasaran. Kalamullah Al-Hafiz tampil cemerlang dengan beberapa penyelamatan penting bagi memastikan Gergasi Merah terus mengawal permainan.

Detik kemuncak berlaku pada penghujung perlawanan apabila Chrigor Moraes menjaringkan gol kemenangan, sekali gus menggemakan Stadium MBPJ dengan sorakan penyokong tuan rumah. Dengan lima minit tambahan, Selangor FC berjaya mengekalkan kubu pertahanan dan meraih tiga mata penting dalam aksi pertama bulan Ramadan.

Menurut Kim Pan-gon, Ketua Jurulatih Selangor FC, beliau berasa bangga dengan pemainnya dan menegaskan pentingnya mengekalkan kekuatan di gelanggang sendiri.

“Ini adalah perlawanan sukar dengan tekanan tinggi. Pada separuh masa kedua, Kuching City melancarkan serangan balas yang sangat baik, tetapi pemain kita menunjukkan pertahanan yang mantap dan terus mencipta peluang sehingga wisel penamat. Selain itu, kami mempunyai barisan pemain yang hebat. Jika lawan memberi tumpuan kepada beberapa pemain, kita boleh beralih strategi berbeza. Saya bangga dengan usaha keras dan kerjasama mereka dalam perlawanan penting ini, terutamanya pada bulan Ramadan,” jelasnya.

“Di luar padang, kami mahu membina budaya yang kukuh di gelanggang sendiri sebagai kubu untuk penyokong Gergasi Merah. Walaupun masih jauh untuk mencapainya, hasrat kami adalah menjadikan setiap kunjungan ke stadium satu pengalaman membanggakan dan menyeronokkan,” tambah beliau.

Minggu ini, Selangor FC akan menentang Melaka FC di Stadium Hang Jebat pada 28 Februari dalam perlawanan ke-19 Liga Super 2025/26, jam 10 malam. Bagi yang tidak dapat hadir ke Melaka, para penyokong dijemput hadir ke Watch Party, tayangan langsung anjuran kelab di Suasana Market Hall.

Pihak Pengurusan Selangor FC juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada 3,802 penyokong Gergasi Merah yang hadir ke Stadium MBPJ semalam bagi menyaksikan perlawanan mendebarkan ini.

Demi Kebanggaan!

Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Quentin Cheng, Muhammad Abualnadi, Richmond Ankrah, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Noor Al Rawabdeh, Mukhairi Ajmal, Alvin Fortes, Safuwan Baharudin, & Chrigor Moraes.

Pertukaran: 58’ Vitor Pernambuco > Mukhairi Ajmal, 58’ Zikri Khalili > Muhammad Abualnadi, 75’ Kim Ji-ho > Alvin Fortes, 90’ Mamadou Diarra > Faisal Halim , 90’ Syahir Bashah > Noor Al Rawabdeh.